20 Mei 2011

Londeh seluar rai kemenangan, pemain SIA RRI digantung

Peminat yang mengikuti Liga Subang musim ini pastinya tidak akan hampa dengan pelbagai kisah drama, isu, konflik, perbalahan dan pertentangan yang berlaku sepanjang liga berlangsung. Malah tidak terlampau untuk dikatakan ke'meriah'an Liga Subang di peringkat Parlimen Subang ini adalah sama atau adakalanya lebih hangat dari Liga Selangor mahupun Liga Malaysia.

Terbaru, bagi menambahkan lagi asam dan garam dalam kejohanan Liga Subang musim ini adalah insiden seorang pemain SIA RRI yang meraikan kemenangan pasukannya dengan menanggalkan jersinya dan melondehkan seluarnya di hadapan penyokong pasukan HYFAC sehingga ternampak lapisan pakaian di dalam seluarnya atau dikenali juga sebagai seluar dalam.

Insiden tersebut berlaku ketika pertemuan HYFAC dan SIA RRI dalam saingan separuh akhir Piala F.A di padang Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Sg. Buloh pada 17 Mei 2011 yang berkesudahan dengan SIA RRI mengalahkan HYFAC 2 - 0.

Tindakan pemain berkenaan ternyata menimbulkan perasaan marah dan kurang senang penyokong HYFAC apatah lagi insiden berkenaan turut disaksikan oleh kaum wanita dan anak-anak kecil.

Ada yang menzahirkan rasa ketidakpuasan hati mereka di dalam ruangan ulasan blog ini pada keesokan harinya dengan menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap pemain berkenaan.

Pada keesokan harinya pula, seorang pemberi ulasan yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Pasukan SIA RRI memohon maaf secara terbuka di atas keterlanjuran pemainnya dan berjanji untuk tidak mengulangi insiden berkenaan.

Manakala pada hari ini, satu surat telah dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Pertandingan kepada pengurusan SIA RRI bagi memaklumkan keputusan penggantungan pemain berkenaan secara otomatik sebanyak dua perlawanan.

Tidak berhenti setakat itu, pemain berkenaan juga akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib dalam masa yang terdekat untuk di ambil tindakan selanjutnya.

Pihak Jawatankuasa Pertandingan mengingatkan semua pasukan agar menjadikan insiden ini sebagai satu pengajaran dan sentiasa menjaga tingkahlaku sama ada sebelum, semasa atau sesudah perlawanan berlangsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan salahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan. Ulaslah dengan berhemah dan tidak menggunakan perkataan atau ayat yang boleh menyinggung perasaan kaum atau agama tertentu. Berikan ulasan yang membina demi kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak di kawasan kita ini. Harap bekerjasama.