22 Januari 2011

Keputusan Perlawanan: Sabtu, 22 Januari 2011


Mendahului tiga gol selepas tamat separuh masa pertama sudah cukup untuk meletakkan pasukan OTAI FC dalam keadaan yang amat selesa dalam pertemuan dengan pasukan PUNCAK ARA FC di Padang Awam Paya Jaras Hilir. OTAI FC juga mencipta rekod apabila menjaringkan gol pertamanya dalam masa kurang satu minit selepas perlawanan dimulakan menerusi tendangan ketua pasukannya, Mohd Azwan Abdul Rahman. PUNCAK ARA FC pula banyak mempersiakan peluang untuk menjaringkan gol sepanjang sepatuh masa pertama.

Meyakinkan pemainnya ketika waktu rehat bahawa OTAI FC akan menjadi semakin lemah kerana kepenatan dalam separuh masa kedua, pengurusnya, Mohd Rasul Ali menyusun kembali strategi serangan. Ternyata telahan beliau tepat apabila pemain OTAI FC mula menunjukkan kepenatan mereka dan keadaan itu segera dimanipulasikan oleh PUNCAK ARA FC sehingga berjaya menyamakan kedudukan 3 - 3 hasil jaringan Mohd Suffian Jasini pada minit ke 48 dan 62 serta Mohd Firdaus Razali pada minit ke 56.

Walaubagaimanapun, PUNCAK ARA FC melenyapkan peluangnya untuk menang apabila sepakan penalti yang diperolehi di babak minit terakhir perlawanan berjaya dipertahankan oleh penjaga gol OTAI FC.

Perlawanan seterusnya di lokasi yang sama menyaksikan permainan hambar oleh pasukan 4B PJ FC dan PADANG KOTA FC. Boleh dikatakan corak permainan yang dipamerkan membuatkan penonton seakan-akan sedang menyaksikan perlawanan futsal. Cukup dengan melihat lima minit terawal permainan sudah boleh diramalkan bahawa perlawanan tersebut akan diakhiri dengan kedudukan seri, dan ternyata ramalan itu menjadi kenyataan apabila kedua-dua pasukan akhirnya berkongsi satu mata perlawanan setelah seri 1 - 1.

Di padang Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Sg. Buloh pula dilaporkan hampir tercetus pergaduhan yang berpunca dari insiden pemain dikasari serta provokasi dari penonton semasa perlawanan antara CRT TEAM menentang pasukan PPTSB FC. Bagaimanapun, CRT TEAM berjaya mendapat kemenangan pertamanya dalam Liga Super dengan menewaskan PPTSB FC 5 - 1.

Perlawanan antara GAJAH PERDANA FC dan BAMBOO RIVER juga tidak kurang panasnya dan berkesudahan dengan keputusan seri 1 - 1.

Manakala perlawanan pasukan Liga Perdana antara SUBANG SETIA SENIOR FC dan PENDAMAI PUTRA FC yang sepatutnya berlangsung di Padang Awam Paya Jaras Hilir, dipindahkan ke padang RRI atas permintaan pasukan SUBANG SETIA SENIOR FC yang sanggup untuk membayar sendiri sewa padang berkenaan. Pengurusnya, Fakhrul Azmi Mukip berkata, kos perubatan yang ditanggung untuk merawat kecederaan para pemainnya semasa bermain di padang Paya Jaras Hilir yang berpasir dan berdebu lebih tinggi dari kos sewa padang di RRI, oleh itu beliau lebih rela mengeluarkan kos untuk mendapatkan padang yang lebih baik supaya pasukannya dapat bermain dengan lebih baik.

Tindakannya itu ternyata membuahkan hasil apabila pasukannya berjaya mengalahkan PENDAMAI PUTRA FC dengan keputusan 5 - 4.

Dijangkakan beberapa buah pasukan akan turut mengambil langkah menyewa sendiri padang kerana percaya, bermain di padang yang lebih baik keadaannya akan meningkatkan lagi prestasi pasukan masing-masing.

LIGA SUPER - KUMPULAN B
CRT TEAM [ 5 ] - [ 1 ] PPTSB FC
(3.15 ptg - Padang RRI 'A')
LIGA SUPER - KUMPULAN B
GAJAH PERDANA FC [ 1 ] - [ 1 ] BAMBOO RIVER
(5.00 ptg - Padang RRI 'A')
LIGA PERDANA - KUMPULAN B
SUBANG SETIA SENIOR FC [ 5 ] - [ 4 ] PENDAMAI PUTRA FC
(5.00 ptg - Padang RRI 'C')
LIGA PERDANA - KUMPULAN B
PUNCAK ARA FC [ 3 ] - [ 3 ] OTAI FC
(3.15 ptg - Padang Awam Paya Jaras Hilir)
LIGA PERDANA - KUMPULAN A
PADANG KOTA FC [ 1 ] - [ 1 ] 4B PJ FC
(5.00 ptg - Padang Awam Paya Jaras Hilir)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan salahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan. Ulaslah dengan berhemah dan tidak menggunakan perkataan atau ayat yang boleh menyinggung perasaan kaum atau agama tertentu. Berikan ulasan yang membina demi kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak di kawasan kita ini. Harap bekerjasama.